KENYATAAN AKHBAR SETIAUSAHA MAJLIS KESELAMATAN NEGARA : AMARAN HUJAN LEBAT DAN ANGIN KENCANGPEN: 1/2013/1 (MKN)UNTUK SIARAN SEGERA

PEN: 1/2013/1 (MKN) Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri telah mengeluarkan kenyataan media seperti berikut:-

KENYATAAN AKHBAR

SETIAUSAHA

MAJLIS KESELAMATAN NEGARA

JABATAN PERDANA MENTERI

AMARAN HUJAN LEBAT DAN ANGIN KENCANG

5 Januari 2013

1. Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) menjangkakan hujan lebat akan berlaku di antara 7 hingga 9 Januari 2013 di negeri-negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang ekoran daripada angin kencang dan laut bergelora yang sedang berlaku di Laut China Selatan. Keadaan hujan lebat dijangka akan berlaku yang mana boleh menyebabkan risiko berlakunya episod banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah. Keadaan laut juga dijangka bergelora dan situasi ini akan menyebabkan keadaan bahaya di laut dan persisiran pantai.

2. Sehubungan itu orang ramai terutamanya nelayan adalah dinasihatkan supaya tidak melakukan aktiviti di laut dan lain-lain aktiviti di kawasan persisiran pantai.

3. Orang awam terutamanya yang tinggal di kawasan-kawasan yang sentiasa dilanda banjir perlu berwaspada dengan amaran keadaan hujan lebat ini dan dinasihatkan membuat persediaan awal bagi menghadapi kemungkinan berlakunya banjir. Sekiranya diminta oleh pihak berkuasa untuk berpindah, orang ramai dinasihati untuk mematuhi arahan dan tidak menunggu di saat-saat akhir kerana ia boleh mengundang kejadian yang tidak diingini berlaku. Adalah dinasihati juga supaya orang ramai dapat membawa bersama dokumen-dokumen penting dan keperluan asas peribadi semasa berada di pusat pemindahan.

4. Bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku, orang ramai juga dinasihatkan supaya mengambil langkah-langkah keselamatan sewajarnya semasa kejadian banjir.

5. Agensi-agensi Kerajaan yang terlibat di dalam pengurusan bencana telah membuat persiapan dan diletakkan di dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya kejadian banjir.

6. Maklumat terkini mengenai keadaan cuaca dan situasi semasa boleh diperolehi di laman sesawang http://www.met.gov.my/ dan http://portalbanjir.mkn.gov.my/.